Showing posts with label cangkul emas. Show all posts
Showing posts with label cangkul emas. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

Untuk FAM

Ke hadapan pengurusan FAM, atau lebih senang orang kenal Persatuan Bolasepak Malaysia,


Saya merupakan seorang peminat bola sepak Malaysia yang baru berjinak-jinak dalam lebih kurang 3 tahun dalam mengisi pengetahuan saya tentang perkembangan sukan bola sepak di Malaysia. Saya bukanlah seorang pemain bola sepak, walaupun ada lah jugak main bola sepak petang-petang kat sekolah dulu. Saya juga bukanlah seorang pengurus pasukan mana-mana pasukan bola sepak, tapi ada lah sekali sekala saya mengemudi pasukan Manchester United, secara maya dalam game Football Manager 2012. Saya bukanlah pengatur strategi dalam mana-mana pasukan bola sepak, tapi ada lah sikit-sikit saya rancang taktikal untuk Chelsea dalam game FIFA 2013. Di sini saya ada sedikit idea dan cadangan untuk diberikan kepada pihak pengurusan FAM supaya arena bola sepak di Malaysia lebih gamat selepas kemenangan pasukan Malaysia yang amat kami banggakan di Sukan SEA, Suzuki Cup dan Sukan SEA lagi. 

Saya gembira melihat arena bola sepak Malaysia sudah semakin gamat dengan keberadaan pasukan-pasukan yang semakin hebat dan power di Liga Super Malaysia seperti Kelantan, Pahang, ATM dan sudah semestinya Johor Darul Takzim. Tetapi apa yang menjadikan ini semua tidak bermakna adalah beberapa isu yang ditimbulkan oleh pengurusan FAM seperti pergantungan beberapa individu berjawatan tinggi dalam persatuan bola sepak negeri hanya kerana mereka mengutuk dan mengkritik FAM. Jadi, tanpa rasa takut yang saya akan digantung atau ditata tertibkan oleh FAM (saya bukan ahli mana-mana persatuan bola sepak negeri), saya mendesak supaya,

SILA TUKAR KEPIMPINAN FAM dan segala isi pengurusannya. Lebih-lebih lagi Sang PRESIDEN dan SETIAUSAHAnya. Mereka sudah tidak relevan.

"I watch you"

Oh, saya #TEAMKJ. Saya sokong Menteri Belia dan Sukan saya.
Oh, surat ini hanya menyentuh tentang bola sepak, tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti institusi diraja dan sebagainya. 

Yang benar, 
Semua penyokong bola sepak Malaysia (kecuali yang suka main kipas-kipas nih.)

Saturday, January 12, 2013

Untuk Ayah dari Anak yang jauh di perantauan

Ke hadapan Ayah yang sentiasa segak, macho, gigih, penyayang, rajin bekerja, mithali, kacak, bijaksana, adil saksama dan bertimbang rasa.


Tolong masukkan duit belanja dalam akaun saya.



Sekian terima kasih.


Yang terus terang,

Anakmu.

Tuesday, September 18, 2012

Surat untuk Miss Hipster

Kehadapan awak yang hipster,

Hai awak. Awak khabar apa? Khabar baik lah semestinya kan. Harap-harapnya begitulah. Bukan apa, saja nak bertanya. Mana tau sakit, bolehlah saya tolong bawakkan ke hospital.

Saya nak cakap ni, semenjak saya nampak awak, saya rasa macam sukalah pulak pada awak. Entahlah, kalau awak tanya kenapa pun saya tak tau nak jawap ape. Awak lembut, sopan-santun peramah, berhijab, dan yang paling penting, awak hipster. Saya suka bila tengok awak pakai cermin mata besar awak. Kenalah dengan muka awak. Saya pun pakai cermin mata besar jugak. Nampak tak permainan takdir di situ?

Saya pun nak ucap terima kasih lah kat awak sebab temankan saya ituhari. Sengaja je saya ajak awak, nak jugak jalan-jalan dengan awak. Dapat jugak rasa akhirnya. Saya tau, awak mesti tak perasan kan taktik saya? Nampak tak permainannya di situ?

Awak, saya ingat lepas ni nak ajak awak pergi makan kat luar kampus pulak, kalau awak nak lah. Tapi rasanya kalau ajak sekarang, potensi untuk di-friendzone tu lebih tinggi. Taknak lah saya asyik kena friendzoned je. Nak jugak rasa kejayaan kadangkala.

Dear awak,

Harap-haraplah sangat awak tahu isi hati saya. Sebab tiada cara lagi untuk saya luahkan isi hati saya kecuali melalui posmen ni. Posmen ni boleh sampai syurga tau (harap tiada orang PAS serang saya selepas mengeluarkan statement ini). Saya tak berani, saya tak juga gentlemen sangat. Kalau setakat main gitar kapok depan orang ramai tu saya beranilah. Bab-bab perempuan ni saya gugup sikitlah awak. Kalau awak nak tau, saya dah siap tulis satu lagu untuk awak. Awaklah sumber inspirasi saya sekarang.

Okaylah, sampai sini sajalah warkah saya untuk awak. Sorrylah kalau ada terkasar bahasa ye awak.



Yang tak berapa hipster,
Kelasmet awak.












mood: festaim hantar surat jiwang!

Wednesday, September 5, 2012

Surat untuk bakal menantu

RE: Surat untuk mak mertua (Monday, August 27 2012)

Ke hadapan bakal menantu yang belum apa-apa dah bagi surat,

Mak ok je maintain kesihatan mak. Biasalah, semenjak buat poco-poco dan Gangnam Style dengan Rosmah ni, badan mak terasa kuat macam orang muda. Kau pulak macam mana? Sihat? Mak dah baca dah surat kau tu. 'Banyak' kebolehan kau ye nak..

Untuk pengetahuan kau nak, mak suka kat menantu yang pandai masak. Lagi-lagi kek masak cili padi ngan asam pedas tu. Mak ingat kalau raya nanti, mak nak order kat kau sikit kek-kek tu. Mak bagi bonus sikit la kalau kau boleh buat kuih 'Batang buruk bebenor nampaknya'. Susah nak buat tu.

Tentang nak masakkan masakan ekspres tu kat bakalan suami kau merangkap anak mak, kau masaklah. Selama dia dengan mak pun, mak buatkan sup cendawan Campbell je untuk dia tiap-tiap hari. Sampai dah muka fungus dah mak tengok dia. Mak tak kisah pun. Tapi mak tak boleh konpem lah kau bahagia ke tak dengan dia. Takut jugak kalau dia merajuk nanti lari balik rumah mak. Malas mak nak melayannya.

Oh menantu,

Mak tak kisah jugak kalau bab nak berkongsi anak mak tu. Tapi syaratnya tiap-tiap kali malam raya kena tidur rumah mak meaning that tiap-tiap kali beraya kena bali rumah mak. Muktamad. kalau tak, jangan harap nak jadik menantu mak.

Kalau tak boleh ikut jugak syarat mak, jawapannya adalah:








Sincerely,
Overly attached mother in law.

Friday, August 17, 2012

Adik-adik yang tak kenal erti Ramadan.

Wahai adik-adik,

Bulan Ramadan ini dijadikan Allah sebagai medan untuk Muslimin dan Muslimat beribadah dengan dikurniakan pahala yang berlipat ganda. Bertuah sungguh kita sebagai umat Islam dikurniakan nikmat sebegini rupa. Ditambah pula dengan kehadiran malam Lailatul Qadar yang menjadi raja segala malam. Sesungguhnya sembahyang terawih itu adalah salah satu medium untuk kita menundukkan diri kepada Allah. Seperti dikatakan tadi, banyak pahalanya.

Baiklah, henti dengan ceramah seperti Ustaz Azhar Idrus. Di sini saya ingin menyatakan isi hati saya kepada kanak-kanak budiman yang dibawa oleh parents mereka yang sememangnya berakal waras untuk sembahyang terawih bersama. Kalau boleh biarlah disenyapkan mereka itu. Lebih bagus, tutuplah mulut mereka dengan cellophane tape. Tolonglah, saya ni bukanlah sealim peserta-peserta Imam Muda Astro. Ramadan ini sahajalah peluang saya nak lipat gandakan amalan.

Pulak tu, tengah imam duk sedap punya layan baca surah, dah perang saudara pulak kat luar. Ikutkan hati, nak saja saya doakan terkena tangan ke, muka ke, alat sulit ke. Tapi tak baik pulak kan... Tolonglah hormat. Yang rasa dia tu sepatutnya digelar 'mak bapak', toonglah jaga anak-anak anda. Kalau kena sound kang, cakap saya ni kuang ajo pulak. Cuba kalau awak nak beribadat, saya layan duk main mercun kabait depan rumah. Mesti berapi kan?

Akhirulkalam, tolonglah hormat bulan Ramadan yang mulia ini. Main mercun tu bukanlah budaya kita. Adik saya pun saya larang nak main mercun tau. Dah lah, cakap pun tak guna, saya nak gi main meriam buluh lah. Oh, saya main meriam, bukan mercun.

Yang alim-alim kucing


#P.S: bulan puasa pun ada orang main 'geli-geli' jugak ke? pelik aku.

Saturday, June 16, 2012

Encik JPJ

Kepada Encik JPJ,

Apa khabar encik JPJ? Sudah minum kopi belum? Sudah trim misai encik yang lebat macam rumput tu? Eh banyak tanya pula saya kan? Tau tak siapa saya? Sayalah Rahim. Tak ingat? alahhhh..yang encik gagalkan ituhari lah kat Sekolah Memandu Bajet Rendah.

Kenapa saya pos surat ini? Di sini saya ingin menyatakan rasa tidak puas hati setelah digagalkan oleh encik dengan sewenang-wenangnya ketika ujian memandu JPJ tempoh hari! Saket hati!(dengan suara Ropie) Encik ingat saya ni banyak duit sangat nak repeat ujian JPJ tu? Encik bagi saya duitlah baru tau mahal tak mahal! Encik ni memang tiada hati perut lah! Hanya kerana saya lambat untuk parking sisi itu sahaja, encik sudah menghalau saya tanpa rasa belas kasihan untuk turun dari kereta! Cubalah encik tanya kenapa saya lambat. Tak boleh ke?

Buat pengetahuan encik, punca utama saya lambat ketika melaksanakan ujian itu adalah, ketika saya hendak parking sisi, di garisan kuning parking itu, saya ternampak seekor siput babi sedang melintas sambil mengendong anaknya. Oleh kerana sifat perikemanusiaan yang ada dalam diri saya, saya berhentikan kereta supaya siput babi itu boleh melintas tanpa rasa segan dan silu. Encik ni tak ada sifat kemanusiaan ke? Tak sangka saya! Belum sempat saya menunggu siput babi itu melintas, encik pula boleh suruh saya turun.

Ingin saya tegaskan di sini, bahawa saya akan berusaha sedaya-upaya untuk membawa hal ini ke muka pengadilan! Akan saya dakwa encik dalam isu hak asasi manusia dan keselamatan haiwan Malaysia. Baru encik tahu bahawa encik tak sepatutnya menggagalkan saya tempoh hari! Saket hati! Menci tau!

Yang kecewa, Rahim Al-Kontol



*Rahim sudah tidak dibenarkan mengambil ujian memandu JPJ lagi dan diharamkan untuk mendaftarkan diri di mana-mana sekolah memandu di Malaysia oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Tuesday, April 24, 2012

Sang 'Forever Alone' di Facebook

Kepada si Forever Alone,

Akhir-akhir ini, saya ada menjenguk laman sosial yang semakin melalui zaman gelapnya, iaitu Fesbuk. Saya lihat, walaupun Fesbuk ini sudah semakin tenggelam dengan kehadiran Si 'chipchip' Twitter, namun begitu masih lagi ramai dikunjungi peminat-peminat dan penggunanya yang rata-rata terdiri dari kanak-kanak, remaja baru nak naik, warga emas dan klon-klon selebriti tanah air mahupun luar negara untuk mengejar publisiti murahan. Tidak kurang juga golongan-golongan yang suka sangat buat page berdasarkan catchphrase-catchphrase murahan yang didapati dari filem-filem tanah air khususnya. Eh, banyak pula saya berceloteh tentang laman sosial ini ye. Takut terlajak lari tajuk pula nanti.

OK, pada suatu petang yang hening, diiringi bunyi burung-burung berkicauan, tidak kurang juga bunyi nyamuk-nyamuk berdesing kerana maghrib yang semakin hampir (itu kan waktu merayau diorang), aku bukalah laman sosial ini. Lihat setiap posts dan status updates yang berjela-jela dinukil oleh fren-fren aku. Time tulah, aku entah bagaimana dan macam mana entah, tiba-tiba terfikir tentang kau yang lama sudah aku tidak dengar berita. Aku pun tekanlah nama kau. "Polan 'Sipolan' Pulan". Nama glamer lah katakan. Terngiang-ngiang di telinga aku cerita lama kau yang kau dulu berkawan dengan selebriti-selebriti terkenal ketika bekerja di Radio ***, atau lebih tepat Skuad ***, atau lebih tepat lagi, balaci angkut hadiah skuad itu. Aku masih ingat dulu kau tayang gambar kau bersama penyanyi-penyanyi hasil program realiti di satu siaran televisyen. "Wah, beshnyer  kau kerja dengan mereka ya kawan..", itu kata aku pada kau dulu. Aku lihat, wah, gambar-gambar itu memang banyak di fesbuk kau. Popular sungguh kau sekarang. Artis pun nak ambil gambar dengan kau. Berebut pula tu.

Aku lihat wall kau. Status updates semua penuh dengan nama-nama artis. Wah, hebat! Walaupun itu semua post-post lama, itu masih impressive!

Tapi, satu kemusykilan berda dalam kepala hotak aku. Kenapa semua post kau di'like' oleh diri kau sendiri? Seperti macam salah satu post kau yang aku ingat, kau seboleh-boleh nak mention nama deejay radio itu dan bertanya tentang pendapatnya tentang satu topik. Bukan hanya satu post, malahan empat lima post juga kerana tiada jawapan dan like dari sesiapa, termasuklah artis tersebut. Dan apa yang aku nampak hanya satu bagi SEMUA posts di atas wall kau hanyalah ayat biru tertulis:

Polan'Sipolan'Pulan likes this.

Satu lagi kemusykilan, kalau ada satu dua orang lain yang like post kau, kenapa kau paksa orang-orang tersebut untuk komen? Seriously kawan, kau kena belajar common sense tentang psikologi masyarakat fesbuk ok..

Sekian, harap berubah sebelum ada orang lain yang pulau kau kerana terdesak cari publisiti di fesbuk (walaupun dah memang beriban orang pulaukan kau). Satu gambar untuk kau ye:

Pesanan ikhlas dari penaja
 

Yang benar,
Kawan kau di fesbuk.



P.S# aku dah unfriend kau kat fesbuk.

Tuesday, April 10, 2012

Kau Korupsi

Wahai si koruptor,

Aku percayakan kau dalam segala perkara. Aku selalu fikir yang kau seorang yang bertanggungjawab. Aku fikir kau boleh pegang amanah ini tapi sikap kau yang korup telah membuat hati aku hancur kerana percayakan kau. Sudah lama kita berkenalan dan bekerja bersama, tapi kerana imbuhan dan duit, sanggup kau menggelapkan mata lantas mengkhianati amanah yang diberikan.

Apalah sangat imbuhan yang dijanjikan itu wahai koruptor? Tidak cukupkah imbuhan yang diberikan untuk kau memegang amanah tersebut? Kenapa kau ni korup sangat? Mata duitan. Kau tahu tak rasuah itu adalah salah satu dosa besar di sisi Islam? Tidakkah kau takut duit-duit haram itu mengalir di setiap inci badan kau? Tidakkah kau fikir wahai koruptor?

Kau kata kau boleh pegang amanah itu tapi sekarang, janji hanya tinggal janji. Kau tinggalkan amanah untuk kepuasan diri kau sendiri. Hanya kerana emak dan ayah merasuah kau dengan RM2, kau pun gelap mata lantas melaporkan perihal aku hisap rokok di tepi loji kelmarin! Mana janji kau untuk rahsiakannya setelah puas kau habiskan fulus-fulus aku semata-mata untuk belikan Beyblade yang kau nak! Kau korup! Kerana korupsi kau, aku kena detention kat rumah ni! Tak guna. Kau tidak layak memegang amanah kerana kau korup.

Ikhlas,
Abang kau yang tak cukup umur.

#P.S: aku jumpa gambar kau hisap rokok. Matilah kau aku repot kat mak ngan ayah!

 

Sunday, April 1, 2012

Duhai pensyarah

Ke belakang sikit lecturer yang dihormati,
(Kerana 'Ke hadapan' terlalu mainstream)

Peperiksaan akhir semester baru sahaja kami lalui. Betullah bak kata-kata abang dan kakak senior, peperiksaan ini memang bisa memecahkan otak dan memutarbelitkan urat akal. Tidakkah Tuan sedar bahawa ketika peperiksaan dijalankan, terlalu ramai pelajar yang mengorek telinga mereka menggunakan pensil mekanikal Shaker 2.0 kerana terpedaya dengan dakyah salah seorang pelajar yang menyebarkan mitos bahawa 'jika kita mengorek telinga dengan Shaker 2.0, otak akan dapat jawab semua soalan.' Natijahnya, semua pelajar-pelajar yang bodoh itu mengalami sakit telinga berdarah dan kudis2 di cuping telinga.

Namun begitu, saya bukanlah terdiri di antara pelajar-pelajar bangang itu. Saya yakin bahawa saya adalah contoh seorang pelajar terbilang yang sepatutnya ditiru oleh rakan-rakan lain. Kenapa perlu mereka susah-susah berfikir untuk menjawab soalan-soalan itu. Bukankah itu semua duniawi? Mereka sanggup berjaga dua tiga malam semata-mata untuk mendapat markah yang cemerlang dan seterusnya pointer yang baik. Tidakkah mereka tahu sekali lagi baqhawa itu semua duniawi? Ish, ish, ish..

Saya tahu kalau tak jawab soalan-soalan di paper exam ini akan menyebabkan saya gagal dan seterusnya terpaksa menyambung satu lagi semester memandangkan ini merupakan semester terakhir saya. Tapi ingin saya memberitahu Tuan bahawa tujuan saya menggagalkan diri hanyalah kerana tidak sanggup untuk meninggalkan kampus yang tersayang itu. Saya juga hendak belajar lagi dengan Tuan. Harap Tuan faham dengan nawaitu saya.

Akhir kata, bukan sengaja ingin saya biarkan kertas peperiksaan itu kosong. Lagipun bukankah saya baru sahaja menjimatkan penggunaan kertas?
Terima kasih.

Yang benar,
Pelajar Semester 10



Nota:Pelajar ini telah dikenakan hukuman buang universiti dan disenarai hitam dari memasuki mana-mana sekolah rendah, menengah, kolej mahupun universiti lain di Malaysia.

Sunday, March 25, 2012

Si Bujang bercanda sendiri

Dari aku,

Dahulu kita sama-sama membina istana pasir di pantai ini. Kita sama-sama menanam diri di sini. Kita sama-sama lari berkejaran di sini. Pabila kau menyuarakan kebosanan, ku petik gitar dan alunkan muzik kegemaranmu itu. Indah sungguh kenangan ketika itu. Terasa aku dan kau ibarat terbang melayang sambil berpegangan tangan di atas langit cinta.

Tapi semua itu dulu. Hanya kerana satu ketidak sempurnaan, kau curang dengan aku. Apa salah aku? Apa dosa aku sehingga sanggup kau berbuat begini? Apa dosa aku sehingga sanggup kau bergomol dengan jantan lain? Ketika kau tiada rumah dan tempat bergantung, siapa yang bawa kau pulang dan menyayangi kau lebih dari ibu bapamu? Aku tak pernah minta balasan. Yang aku harapkan hanya keikhlasan mu membalas cintaku.

Ternyata aku hanya melepaskan batuk di tangga (kau faham peribahasa ni? Aku nampak macam best aku letak je). Kau itu ibarat kacang lupakan kulit, pensil lupakan penutup, teddy lupakan bear! Kau mesti pelik bagaimana aku dapat kesan kerja kotor kau itu kan? Bukankah kau lupa yang kau bergurau senda dengan jantan itu di rumah aku? Dasar betina tak guna. Engkau nak bukti? aku tunjukkan bukti! Nah! Tengok gambar yang aku sertakan sekali dalam poskad ini!


Pabila tibanya surat ini di hadapan mata kau, kau patut tahu yang kau telah pun dihalau dari rumah ini. Pergilah kepada jantan itu. Kau hanya akan mengotorkan penglihatan aku.

Sekian, wassalam.



Untuk,
Si Comel.


Aku zoom dari jauh sahaja.

Monday, March 19, 2012

Aku yang takde hidup

Orang yang penuh dengan kehidupan (Ada LIFE),

   Salam saudara/saudari, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kerana anda telah menggelarkan diri anda sebagai seorang yang penuh dengan kehidupan walaupun dengan pengesahan sendiri. Saya dapat lihat ketelusan pengesahan anda itu melalui sikap anda dan gambar-gambar anda. Gambar anda semuanya cantik-cantik sehingga kadangkala saya lihat tidak berkelip selama lima belas minit. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada anda kerana menjadi seorang muda yang punyai 'LIFE' yang berwarna-warni.

   Berpandukan saudara/saudari, saya dapatlah memahami bahawa kehidupan itu atau 'LIFE' hanya boleh dicapai jika kita menjejakkan kaki ke dalam disko-disko mahupun dangdut-dangdut. 'LIFE' juga boleh dicapai dengan kita menafikan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Apa nak susah hati kan, dunia sekarang dah serba maju. Untuk mencapai 'LIFE' tahap moksya pula, kita mestilah mengikut budaya pemakaian homosapien-homosapien zaman prasejarah sebagai contoh, pakaian-pakaian di dalam animasi lejen, The Flinstones. Barulah tidak kolot, kerana mengikut beberapa kajian dan penemuan, didapati tamadun-tamadun dahulu lebih berteknologi tinggi dan lebih pandai dalam pelbagai perkara termasuklah pemakaian.

   Saya juga mendapati bahawa zaman sekarang ini, air teh dan kopi sudah lapuk ditelan zaman dan sangat kolot untuk dibuat sebagai minuman-minuman lepak di waktu bulan mengganti matahari. Setelaha beberapa pengamatan, saya juga mendapati bahawa tindakan anda dan lain-lain yang punyai 'LIFE' untuk menggantikan teh dan kopi dengan minuman lazat Heineken dan Tiger Beer adalah sangat-sangat bijak kerana kajian sendiri telah membuktikan bahawa arak adalah minuman yang bagus untuk badan. Jadi, saya yang tidak mempunyai kehidupan ini ataupun 'LIFELESS' sangatlah bangga kerana lahirnya homosapien seperti anda dalam masyarakat kita yang kian rosak dengan puak-puak yang anti-sosial dan buta fesyen. Saya akan mempengaruhi adik-adik saya untuk mengubah penampilan mereka yang kolot dan tiada 'LIFE' itu kepada apa yang dikatakan ada 'LIFE'.

   Saya harap dapatlah kiranya anda meneruskan usaha-usaha dakwah 'LIFE' anda dan seterusnya menjadikan anda seorang anak yang dibanggakan ibu dan bapa. Jangan pedulikan apa orang-orang yang buta fesyen dan anti-sosial nak cakap kerana mereka itu semua 'LIFELESS' dan tiada zaman muda untuk bersuka-ria.

Sekian, salam 1 Malaysia.

Dari,
Yang tiada kehidupan (LIFELESS)





Sunday, March 18, 2012

Wanita di Fesbuk

Lelaki seluruh dunia,
Ruang Lelaki,
Facebook Bersepadu,
Meleis.

*******************************************************************************

Pengguna Wanita,                                                                                              18 Mac 2012
Ruang Wanita,
Facebook Bersepadu,
Seluruh dunia .

Puan,

MEMOHON AGAR DIKURANGKAN TEMA 'MUNCUNG ITIK' DALAM GAMBAR DP FACEBOOK

Berhubung tajuk di atas, saya selaku wakil pengguna-pengguna lelaki ingin meminta jasa baik para pengguna wanita di laman Facebook supaya dapatlah kiranya mengurangkan penggunaan tema 'muncung itik' dalam gambar-gambar DP atau Default Pic anda.

2.   Kami mendapati penggunaan tema ini semakin menjadi-jadi dan sering dilihat mengalahkan Donald Duck yang merupakan ikon muncung itik sejati. Teguran ini dibuat adalah atas dasar kemanusiaan supaya masyarakat timur kita tidak terikut-ikut dengan gaya-gaya yang diambil dari budaya barat. Disini ada kami lampirkan contoh penggunaan 'Muncung Itik'(lampiran 1) yang dapat dikesan. Kami mendapati, jumlah ahli kami yang bertukar menjadi pemburu itik dan pengusaha mee segera perisa itik goreng semakin meningkat, selari dengan meningkatnya penggunaan tema bergambar ini.

3.   Tambahan pula, wajah manusia yang ada di gambar itu kelak dikhuatiri akan bertukar lama-kelamaan menjadi wajah haiwan. Ingin kami tegaskan bahawa, teguran ini bukan dikhaskan untuk hot stuff atau sebaliknya (faham-faham sahajalah) tetapi ditujukan untuk mana-mana wanita yang sudah melakukan atau ingin melakukan perkara ini kelak. Ingin juga ditegaskan di sini bahawa kami juga menetapkan larangan bagi ahli kami untuk melakukan aktiviti tidak sihat ini.

4.   Kami harap teguran kami ini akan menyumbang ke arah taubat nasuha ahli-ahli anda yang ingin atau sudah menggunakan tema 'muncung itik' ini dalam proses pengambilan gambar mereka. Eloklah kiranya jika nasihat kami ini ini dijadikan pedoman dan tidak dibalas dengan caci maki puak-puak yang butthurt atau terasa melebih. Kerjasama dari anda amatlah kami hargai. 

Sekian Terima Kasih.

Yang Benar,

AbangFesbuk
(Setiausaha Ruang Lelaki)
Facebook Meleis.



Lampiran 1.







Thursday, March 15, 2012

Anjing yang anjing

problem?
Wahai anjing, 


Tatkala malam bulan mengambang, tatkala bintang bersinar berkelipan, aku tak pernah kisah kalau kau nak menyalak bagai nak rak atau teransfom jadik serigala, tapi banyak-banyak pilihan, kenapalah kau kejar jugak kitorang yang nak pergi makan kat arked tu? Kau tahu tak, doa orang yang teraniaya tu makbul tau. Tapi malangnya, kau siap dah ajak sepupu-sepapat pulak nak kejar kitorang. Takkan hari-hari nak makan biskut marie je kat bilik. Perangai kau tu dah serupa kawan \'sama haram\' kau lah. Kalau muka kau macam anjing Paris Hilton mahupun Scooby Doo aku tak kisah, ni dah macam Bulldog haram jadah tu kau tau tak?


Last word dari aku, kau memang anjing betullah!

Dari, 
Yang takut anjing.