Showing posts with label cik shiqah. Show all posts
Showing posts with label cik shiqah. Show all posts

Wednesday, April 25, 2012

Aku Mahu Terbang



Aku mahu terbang di atas langit biru itu. Menikmati ketenangan dan kebahagiaan di atas sana. Bersama burung-burung yang masih kenal erti hormat sesama makhluk. Walaupun seekor burung. Aku kagum dengan peribadinya. Di atas langit biru itu, aku boleh terbang bebas tanpa memikirkan masalah yang berkerumun di jiwa. Biar saja masalah-masalah itu jatuh satu persatu di atas lantai bumi, aku rela. Biar saja masalah-masalah itu dibawa angin lalu, aku sangat merelakannya. Melarikan diri? Mungkin. Argh, pegecutkan aku? 

Aku mahu terbang. Tapi mungkin langit yang cerah itu akan berubah menjadi kelam. Mungkin saja warnanya yang biru itu berubah menjadi kelabu-hitam. Sungguh saat ini aku mahu kekecewaan ini diganti dengan titis-titis hujan yang lebat buat kali terakhir. Biar semua perasaan ini pergi tidak kembali lagi. Namun aku tertanya-tanya, kenapa harus aku berperasaan sebegitu sedangkan aku tidak layak langsung mempunyai sekelumit pun rasa itu? 

Sungguh aku mahu terbang sekarang.
Tolongkah fahami diri ini.


Yang Mengharap,
Aku Mahu Terbang.

Friday, April 13, 2012

Sepasang Mata Itu



Buat Entah.

Sungguh Allah suka dan sayang akan orang yang sabar akan dugannya. Diri, bersabarlah. Tidak mahukah engkau mendapat kasih dan sayang Allah? Apalah sangat ujian engkau ini jika dibandingkan dengan orang lain. Mereka lebih besar ujiannya, Bayangkan betapa orang yang tidak boleh melihat langsung tetap meneruskan kehidupan dalam mencari keredhaan Allah. Sabarlah diri. Allah ingin mengujimu kali ini. Bersyukurlah kerana nikmat matamu ini baru ditarik sedikit bukan semuanya. 


Walaupun kabur tapi engkau masih boleh melihat. Walaupun suatu hari nanti mungkin ditakdirkan mata engkau terus tidak boleh melihat, bersyukurlah! Sekurang-kurang engkau pernah diberi peluang untuk melihat semua itu pada waktu dahulu. Nasibmu lebih indah daripada insan lain yang ditakdirkan buta sejak lahir. Bersyukurlah diri! Kerana selepas itu, engkau tidak boleh lagi melihat kemungkaran dan maksiat. Dirimu lebih terpelihara bukan? Bersyukurlah!

Daripada Entahlah.

Monday, April 2, 2012

Andai Engkau Jodohku


"Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak azali." (Jodoh Itu Milik Kita - Sara Aisha - )

Buat, 
Insan Yang Tertanya-tanya.

Andai anta jodoh ana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz sana, Allah pasti saja akan membuncahkan perasaan kasih dan cinta dalam hati ana jua hati anta. Itu sudah ketetapanNya, janjiNya. 

Namun selagi kita tidak punya ikatan yang halal yakni pernikahan, usahlah dibazirkan perasaan yang anta rasa kerana kita masih tidak punya hak yang hakiki untuk berbuat begitu. Dan janganlah anta melampaui batas-batas yang telah ditetapkanNya sejak dahulu lagi buat ikhwan dan akhwat yang tiada hubungan mahram. Ana takut perbuatan-perbuatan sebegitu akan memberi kesan yang kurang baik dalam kehidupan kita kelak. Perbuatan yang tanpa sengaja namun bakal menempah murka Allah. Manusia itu tidak sempurna bukan? Baik kita berjaga-jaga kerana disebalik rasa ini pasti ada syaitan yang datang menconteng seketul daging bernama hati.

Jika benarlah rasa cinta itu kerana Allah, maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran yang ditetapkan oleh Allah kerana hakikatnya perasaan cinta itu berhulu daripada Allah maka biarlah ia juga berhilir hanya kepada Allah.

Hati manusia itu begitu mudah dibolak-balikkan dan kita juga sama kerana kita juga manusia. Serahkan saja rasa dan perasaan cinta yang belum halal itu kepada Yang Memberi dan Memilikinya. Biarlah Dia mengaturkan semuanya hingga keindahan itu datang tepat pada waktunya. Waktu yang ditakdirkan untuk ana dan anta bersama dalam satu lafaz. Jika Allah mengizinkan.

Daripada, 
Insan Yang Telah Menjawab Soalan. 

Monday, March 26, 2012

Kenapa Pilih Kaca Sedangkan Awak Layak Menerima Permata?



Buat,
Awak.

Kenapa perlu bersedih ditinggalkan kekasih hati dan jiwa. Sedih hingga lupa segala-galanya. Bersedih itu memang fitrah manusia. Tapi tak perlu bersedih lama-lama. Cinta itu kan milik Allah Yang Maha Esa. Hari ini mungkin DIA tarik rasa cinta dari pasangan awak hingga tawar hatinya. Tapi mungkin esok atau lusa DIA campakkan rasa cinta yang lebih indah berbunga dalam hati si dia yang selayaknya awak terima. Allah itu kan Perancang yang terbaik buat manusia. Kita hanya perlu yakin dan melaluinya saja. Dan awak tolonglah, jangan awak kutip lagi serpihan kaca. Sabarlah hingga awak ditemukan permata. 

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. -Surah An-Nur ayat 26-

Usah dikenang masa silam yang dulu.
Yang penting kini masa depan bukan masa lalu.
Ingatlah semua orang itu layak mendapatkan pasangan yang dia mahu.
Pasti kamu juga mahu yang soleh dan solehah menjadi teman hidupmu.
Untuk itu kamu hanya perlu tahu satu.
Sediakan diri menjadi solehah/soleh terlebih dahulu.
Yakni solehah/soleh pasti menjadi milikmu.
Yakin dengan janji Allah itu.

Wallahualam.

Daripada,
Saya.

Saturday, March 24, 2012

Kesempurnaan Kita

Khas buat,
Bakal Imam ku.

Ana tak sempurna.
Anta pun tak sempurna.
Ketidaksempurnaan anta menjadi pelengkap ketidaksempurnaan ana.
Hingga kita akan sempurna meskipun hanya bagi kita berdua.
Biarlah Allah yang Maha Sempurna, menilai kesempurnaan kita.

Bata-bata yang saling melengkapi, baru membentuk sebuah bangunan yang indah.
Kita juga saling memerlukan untuk membina sebuah istana mawaddah.

Sungguh hanya DIA yang lebih mengetahui kan?

Ikhlas daripada,
Bakal Makmum mu.

Thursday, March 22, 2012

Dia Benar-benar Isteri Setia

Kepada,
Wanita tabah.

Sungguh awak seorang wanita yang sangat kuat. Jika saya berada di tempat awak, saya tak jamin saya boleh teruskan hidup ataupun tidak. Kehilangan orang tersayang memang memeritkan, saya juga pernah alaminya namun kehilangan seseorang yang menjadi pelindung kehidupan, hanya Allah saja yang tahu kesedihannya. Benarlah Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Sungguh awak insan terpilih untuk menerima ujian sebegitu dan awak juga pasti mampu menghadapinya. Kadangkala hati seseorang akan tewas dengan ujian namun saya tahu awak seorang muslimah dan isteri solehah, sentiasa mengingati kembali bahawa Allah jualah yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu kejadian. Awak kembali semula kepada Qada' dan Qadar Tuhan. Awak, sungguh ramai yang menyayangi awak. Teruskanlah kehidupan awak seperti biasa bersama anak-anak. Mereka sangat memerlukan kehadiran awak. InsyaAllah, saya yakin cinta sejati sesama manusia pasti saja akan bertemu di syurga begitu juga awak dan si dia. Semoga awak sekeluarga berkumpul di sana, tempat yang lebih indah.  Amin!

Daripada,
Pemerhati setia.

Tuesday, March 20, 2012

Warkah Daripada Bumi



Khas buat,
Manusia Alpa.

Kehadiranmu dalam diriku amat-amat menyesakkan segala isi perutku. Mahu saja aku muntahkan segala yang menyesakkan isi perutku ini keluar dari tubuhku yakni bumi namun mengenangkan tugasku untuk menampung segenap manusia yang pelbagai kerenah, niat itu terus aku lupakan. Sesungguhnya aku masih taat dengan perintah Allah untuk membiarkan manusia-manusia mendirikan tempat tinggal mereka dalam perutku yang tidaklah seluas mana ini. Namun apabila aku mengenangkan sikap-sikapmu yang melayan bumi ini seperti hak milik kekalmu, aku jadi berang. Sungguh kamu manusia yang lalai, leka dan alpa dengan nikmat di bumi yang hanya sementara ini dan kamulah manusia yang sangat tidak bersyukur dengan nikmat dan belas kasihan Tuhanmu yang membenarkan kamu masih tinggal di bumi ini. Jika tidak, mungkin kamu sudah terhumban ke luar dunia. 

Wahai penduduk bumi. Sungguh aku makin tua hari demi hari. Kudratku makin berkurangan. Jika kamu masih bersikap begitu, tidak mustahil aku akan kesakitan lalu keluarlah pelbagai bencana alam. Sesungguhnya semua yang berlaku adalah untuk menyedarkan kamu wahai manusia agar kamu bangun dari mimpi lalai yang kamu cipta. Ingatlah penghuni bumi, kamu duduk di sini punya tujuan iaitu untuk mengumpul mata pahala buat kegunaan di akhirat kelak. Namun jika dengan cara mengeluarkan bencana masih lagi tidak mampu menyedarkan kelalaianmu, aku pasrah. Kini, terserahlah kepada Allah, Pemilik Sekalian Alam untuk menyedarkanmu. 

Daripada,
Bumi Yang Merindui Ketenangan.

Friday, March 16, 2012

Cinta.. Apa maksud cinta?



Kepada,
Cinta.


Cinta. Sungguh kehadiranmu amat membahagiakan hati-hati insan dan kehadiranmu juga melukakan hati-hati insan sehingga tidak ditemui penawarnya. Cinta, apakah maksudmu yang sebenarnya? Adakah cukup engkau mengatakan bahawa engkau ialah perasaan sayang yang terjalin dalam hati dua insan yang berbeza. Adakah maksud cinta yang engkau mengertikan hanya fitrah semata-mata? Jika begitu, mudah sungguh engkau mentafsir dirimu, Cinta. 

Sedarkah engkau Cinta bahawa dirimu ialah perasaan yang dianugerahkan oleh Tuhan untuk setiap hati manusia. Ungkapan cinta fitrah sahaja tidak sempurna, cinta mesti dipandu dengan ilmu, disubur dengan iman, disalurkan mengikut syariat dan dihiasi oleh akhlak. Oh Cinta, ketahuilah, hubungan antara manusia dimulakan dengan perasaan cinta tapi itu sahaja tidak cukup. Cinta, kau sepatutnya harus sempurnakan hubungan itu dengan tanggungjawab dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab.

Cinta,

Pernahkah engkau dengar? Untuk mengekalkan cinta, seseorang itu perlu meletakkan asas cinta pada cinta Tuhan. Oleh sebab itu Cinta, kemudilah tuanmu ke arah jalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Tuhan Yang Esa. Ingatlah satu hal Cinta, cinta yang meminggirkan cinta Tuhan adalah rendah mutunya dan tidak tahan diuji. Justeru itu Cinta, letakkanlah dulu perasaan cintamu pada Tuhan Yang Satu, pasti cinta yang lainnya sentiasa kekal bersatu. 

Hakikat yang perlu engkau tahu Cinta, cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan atau sesuatu hubungan sebagai kebun percintaan. Sentiasa subur menghijau. Walaupun kadangkala  bergolak, namun atas dasar ibadah, tanggungjawab, cinta dapat dibina semula. Malah cinta sesama insan akan dipacu ke arah cinta selamanya, di syurga! Bukankah itu lebih baik, Cinta?

Cinta,

Simpanlah bait-bait warkah ini dalam hatimu dan ingatlah akan perkara yang paling penting, hubungan dan perasaanmu itu hanya akan berharga dan menjadi sumber pahala apabila ikatan yang sah telah terjalin dan di situlah wujudnya cinta sejati sesama manusia. Oh Cinta, fikirkanlah sendiri. Sekian dulu Cinta. Peliharalah rasa cinta itu baik-baik ya. 


Daripada,
Pencinta Setia.

by cik shiqah.