Monday, July 16, 2012

[Kiriman] Kawan Baik Yang Pergi.


Kepada Iden,

Pernah aku berazam agar tidak lagi mengangkat sesiapa sebagai saudara. Kawan baik itu aku gelar saudara. Dia kawan baik aku bukan hanya kerana dia baik, tetapi kerana aku sudah dapat menerima walaupun apa yang dibuatnya penuh cela dan tidak sempurna. Demikianlah dia, kawan baikku.

Barangkali pabila masa gembira mungkin aku tiada di sana, namun tidak pernah aku hilang tatkala kesusahan menimpa (atau sekurang-kurangnya aku mencuba). Aku perit jika dia ditimpa bencana. Yang pertama kerana aku tidak sanggup melihat terjadinya bencana, yang kedua kerana bencana itu menimpa dia. Rela aku menanggungnya dari dibiarkan hati aku luka melihat dia terseksa.

Khilaf dan silap itu sebahagian dari manusia, termasuklah diri aku dan dia. Sejujurnya, banyak yang dibuatnya menyakitkan hati. Aku sakit hati tetapi masih sanggup berada di sisi, kerana itu lah dia kawan baik. Mungkin ada yang aku buat juga menyakitkan hati. Namun seperti sukar nampaknya dia untuk menerima. 

Aku menjangka andai dia pergi, rasanya seperti mereka-mereka yang lain yang juga pernah pergi. Namun aku silap, berminggu rasa perit bermukim di dalam hati. Aku tertanya juga mengapa begitu sekali. Lantas aku menghulur tangan, membuang ego dan bongkak dalam diri, demi persahabatan yang sangat bernilai dan aku hargai. Aku tahu tangan itu mungkin ditepis pergi dan aku pastinya malu tidak terperi. Namun aku hulurkan juga, kerana malu tidaklah terlalu mahal untuk aku korbankan demi persahabatan ini. Walau begitu, rasa hati tidak dapat dinafi, bertambah pedih bila tangan itu ditolak pergi.

Aku tidak berhajat dia membalas kepada aku dengan sesuatu yang serupa. Namun tidak juga aku jangka untuk aku diluka. Dia tahu rasa hati aku, seperti mana aku tahu rasa hati dia. Mungkin baginya tidak mengapa. Namun bagi aku, tidak begitu.

Pedih mengenangkan perginya dia yang aku gelar saudara, andai itu pilihannya. Mungkin tidak banyak yang gembira dikongsi aku dan dia, namun segala susah dan jerih hidupnya banyak bersama aku, kerana dia aku angkat sebagai saudara.

Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, dia aku kasihi lebih dari aku mengasihi diri aku. Sekuat dan semampu kudrat seorang insan, wilayah kemanusiaan hanya berusaha dan berdoa, wilayah penentuan tergenggam erat milik Sang Pencipta. Aku sudah usahakan apa yang perlu, aku juga berdoa kepada Tuhan Yang Satu dan aku juga cuba berserah kepada ketentuan-Nya, walau hati seakan enggan berbuat begitu. 

Di sebalik kehendak-Nya ini pasti membawa kepada kehendak-Nya yang lain, mungkin lebih baik. Namun aku rayu semoga hati ini terus tabah menghadapi hari-hari yang tidak lagi begitu indah. Mengapa begitu perit, aku sendiri tidak mengerti. Pernah dahulu pabila tiba-tiba perit hati ini, aku tahu tatkala itu dia susah hati. Namun kini aku tidak pasti. Apakah dia turut merasai betapa peritnya hati ini.

Dia kawan baik aku. Tidak tergamak meminta sesuatu yang nista untuk berlaku. Namun jauh dalam sudut benak aku berharap, agar hatinya merasa apa rasa hatiku. Tuhan, jika dia pergi, jadikan hati aku redha dengan kehendakMu. Jika dia ditakdirkan kembali, kembalikan kami seperti dahulu.

Sesungguhnya aku mengasihi dia hanya kerana Zat Yang Maha Esa.

Dari aku. 

From : Tanpa Nama

No comments: