Tuesday, March 27, 2012

Pekerja yang amanah

Minta perhatian, untuk semua pekerja.

Kepada para pekerja yang bertugas di syarikat ini, anda diminta untuk mengambil perhatian kepada notis ini. Saya, sebagai ketua di bahagian pengurusan sumber manusia ingin mengingatkan kepada anda semua mengenai masalah kehadiran dan etika sewaktu bekerja.

Yang pertama, disebabkan syarikat kita tidak mempunyai mesin 'punch card', adalah amat dikesalkan kerana saya tidak mampu untuk memantau kehadiran anda semua pada setiap masa. Saya ingin meminta anda semua untuk datang samada tepat atau seboleh-bolehnya lebih awal sebelum bertugas. Saya tidak ada masalah sekiranya anda terlewat selama 5 atau 10 minit, masih boleh dipertimbangkan. Tetapi saya amat kesal kerana ada sebilangan pekerja yang sengaja hadir lewat kadangkala sehingga satu jam. Ini perbuatan yang tidak amanah. Apa yang saya lebih kesalkan, anda semua sudah berhenti menjalankan tugas 15 minit lebih awal sebelum waktu pulang. Hadir bekerja lewat, pulangnya mahu awal pula.

Yang kedua, saya berharap agar anda semua fokus dengan kerja anda sewaktu bertugas. Saya tidak ada masalah untuk membiarkan anda melayari internet sewaktu bekerja, tetapi sebolehnya selepas kerja anda telah selesai sepenuhnya. Pihak syarikat telah menyediakan kemudahan internet kepada para pekerja, jadi diharapkan agar kemudahan ini tidak disalahgunakan oleh anda semua.

Yang ketiga, mengenai perbuatan 'mengular' sewaktu bekerja. Saya juga tidak ada masalah sekiranya anda mahu membuat minuman di dalam pejabat dan mengambil masa untuk minum. Tetapi, alangkah kesalnya saya, ada pekerja yang mengambil masa sehingga setengah jam hanya untuk membuat dan minum secawan kopi. Saya rasa anda semua haruslah mematuhi etika bekerja, dan menjalankan tugas dengan amanah.

Yang terakhir, ingin saya maklumkan bahawasanya mungkin saya dan ketua-ketua bahagian lain tidak nampak akan segala perbuatan anda sewaktu bekerja. Namun saya pasti anda percaya bahawa kita ini di bawah pengawasan tuhan. Segala yang anda lakukan, diperhatikan setiap masa. Anda mahu gaji anda halal dan berkat, bukan sahaja dengan mencari pekerjaan yang halal, tetapi apabila anda melakukan tugas dengan penuh amanah. Saya tak mampu untuk memerhatikan anda semua setiap masa, tapi tuhan tidak pernah terlupa untuk menilai awak semua. Kerja itu juga adalah ibadah buat kita.

Sekian dari saya, saya harap anda semua mampu untuk menjalankan tugas dengan amanah.

Yang menjalankan tugas,

pekerja yang bertugas


No comments: