Monday, April 2, 2012

[Kiriman] Surat Layang Untuk Saudari Nitnot

Kehadapan sahabat dunia akhiratku,
Akmal Suriani binti Hj. Mohamed Rakof.

Tahukah kau ketika surat ini ditulis, masih banyak lagi tutor yang perlu aku siapkan? Berhelai-helai lagi test pad kosong yang masih menunggu untuk di conteng? Jam menghampiri angka 3 pagi. Tapi persetankan semua itu. Hati aku berbunga-bunga untuk menulis surat ini.

Seperti yang kau sedia maklum, sudah hampir 2 bulan aku tidak pulang ke rumah. Berada di kolej selama beberapa bulan sudah menjadi rutin. Bukan aku tiada rumah nak dituju, namun pelajaran harus di utamakan. Seiring dengan sloganku, Pelajaran didahulukan, pencapaian diutamakn. Nak kata aku sentiasa tabah tanpa sekelumit rindu, tipu sangat namanya.Ya, aku sangat rindu rumah. Rindu mak ayah, abang. Rindu bangun lambat di rumah dan akhir sekali rindu kau. Mungkin aku kelihatan sedikit membodek, tetapi aku serius memaksudkannya. 

Masih segar dalam ingatan, kali pertama aku belajar motor dengan kau dua tahun lalu. Semua orang berpusu-pusu untuk mendapatkan lesen motor, kereta dan lori. Justeru, amat memalukan jika kita tidak mempunyai lesen untuk dibanggakan kepada orang lain, ya bukan? Memang pelik bagi manusia berkaki panjang seperti aku masih tidak mampu menunggang motor ketika berumur 17. Kau selalu merungut, aku hanya reti duduk di belakang. Sering mengatakan yang kecil membonceng yang besar. Kau nekad memaksaku belajar motor. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku menerima pelawaan kau. Ingatkah kau di hadapan rumah Cik Satali? Ya, aku menunggang motor EX putih kau dengan jayanya buat pertama kali dengan kau duduk di belakang. Walaupun pada hakikatnya, hati aku sedikit gusar jika terbabas dan melanggar pokok kelapa di seberang jalan, aku nekad untuk belajar. Ketika lalu di hadapan rumah, aku dengan bangganya melambai ke arah mak & ayahku. Akhirnya, anakmu sudah reti menunggang motor. Alhamdulillah.

Kita berkawan sejak Darjah 1. 1 Melur? Masih kau ingat? Menjadi rakan sekelas sehingga masuk 6 Anggerik. Kita saling mengenali tetapi tidak serapat mana kerana rakan rapatmu ialah Asmah, Saleeza dan Amalina Fauzi. Manakala aku pula baik bersama Zakiah, Afiqah dan Farhana. Namun, kita mula rapat sejak umur meningkat belasan. Kerana faktor kurangnya anak dara yang sebaya di kampung hubungan kita kian ampuh. Tidak pernah aku jangkakan yang kau begitu ngam dengan perangaiku. Yes, perangai kita hampir sama cuma kau mempunyai mulut yang sedikit laser. Tetapi aku selesa begitu.

Masuk sekolah menengah, aku dengan berbesar hati melanjutkan pelajaran di Mersing manakala kau bersekolah di Segamat. Aku tidak mempunyai rasa sayang dan setia yang kuat kepada Segamat seperti kau. Persahabatan kita kian erat dari tahun ke tahun dan aku amat menghargainya. Kita berkongsi minat dan masalah bersama. Tentang SF, tentang motor, tentang lagu, tentang baju. Almost everything. Kini, kau di Pahang manakala aku di Melaka. Jarak tidak pernah memutuskan persahabatan kita.

Tiba-tiba rindu untuk bermalam di rumah kau. Kau sering menolak untuk bermalam di rumahku dengan alasan wujudnya golongan lelaki iaitu ayah, abang dan Arwah adikku. Tetapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya dapatlah aku merasa nikmat online jika berada di rumah kau. Kau tentu masalah pemasangan internet yang aku hadapi bukan? Untungnya kau mempunyai semua adik-beradik perempuan. Justeru, aku tidak perlu risau. Kau akan menjemputku pada waktu petang (sebelum aku reti bawa motor). Apabila aku reti menunggang motor, aku hanya merempit terus ke rumah kau. Nasib baik rumah kita hanya 5min perjalanan, tidak perlulah aku risau dengan penampilanku berbaju tidur merempit. Dekat bukan?

Aku juga teringat ketika musin banjir tahun lalu. Seperti sebelum ini, aku dah keluarga terpaksa mendiami sekolah sebagai rumah sementara. Mangsa banjirlah katakan. Rumah kau turut dinaiki air dan kau seperti teruja untuk menjadi ahli rumah sementara sepertiku. Kau mengatakan yang kau sudah bersedia untuk bergerak ke sekolah, namun tiba-tiba kau terpaksa membatalkannya. Tahukah betapa hampanya aku? Hampa kerana aku terpaksa terus memasak bersama golongan emak-emak di dapur sementara. Rajin bukan?Jika kau ada, sekurang-kurangnya dapatlah aku melarikan diri. Aku hanya membontoti makku. Bukan tiada budak perempuan lain, cuma mereka terlalu mentah untuk berkawan denganku. Aku tahu aku agak sombong, tapi biarlah.

Selepas banjir juga, musibah menimpa kelurga kau. Ketua keluarga kau pergi menghadap Ilahi. Aku terkejut, terkejut buka kepalang. Aku datang melawat, untung banjir sudah surut. Aku duduk di sebelah kau. Mata kau bengkak, aku tahu kau menangis dari malam hari. Sabarlah awak, itu semua qada\' dan qadar ALLAH. Aku perlu gelak, kerana aku ta sanggup untuk menangis bersama kau. Mungkin tidak beradab untuk bergelak ketawa di majlis sepeti itu. Tapi again, aku tidak mahu kau terus menangis. Aku sensitif, mudah tersentuh apabila orang menangis. Maaf aku ucapkan kerana tidak mengiringi kau ke kubur. Aku nampak kau pergi bersama Mama dan adik-adik kau. Be strong dear, aku sentiasa ada untuk kau. Al-Fatihah.

Sekarang, mari aku ulas pasal kau. Hmmm. Kau suka merah, terlalu. Aku hanya memberi kau peluang untuk meminati warnaku itu. Mata kau mudah berair bila gelak. Sampai satu masa, aku tidak dapat membezakan yang mana tawa, yang mana sedih. Kau punya sepasang mata sepet yang amat kau banggakan. Kau pandai berfesyen. Kau sangat sayangkan motor Honda EX kau. Kau juga boleh dikatakan agak boros. Aku juga begitu kawan, jangan risau. Suka merempit dengan laju sampai aku pun risau terpelanting jika duduk di belakang. Kau kuat walaupun kau kurus. Kau kau kau..... Okay, cukuplah dulu. Sudah banyak yang aku ceritakan tentang kau.

Ingatkah kau jambatan belakang? Tempat selalu kita tuju jika kita keluar berjalan sekeliling kampung? Aku tidak suka jika ada mat jebeng di situ, kerana itu akan menghalang kita untuk bertenggek di situ. Akanku halau dan hambat mat jebeng yang ada di situ selepas ini. Aku suka duduk di situ. Tenang. Petang-petang pasti ada kereta api yang akan lalu dan kita akan melambai-lambai ke arah muatan tersebut. Untung-untung ada orang yang membalas lambaian, ye tak? Rindu nak tengok daun-daun yang gugur di tiup angin sambil berbual dan bergelak ketawa. Rasa seperti berada di negara yang sedang mengalami musin luruh. 

Untuk hari lahir aku yang lalu, tiada apa yang aku minta selain seekor penyu memandangkan kau pergi melancong ke Teluk Chempedak. Namun aku kecewa kerana kau tidak mampu menunaikan permintaanku. Tidak mengapa, tahun depan masih ada bukan? Namun begitu, kau tetap menyediakan hadiah untukku. Kejutan katanya. Entah apalah yang kau buat kan untuk aku. Aku harap bendanya senonoh. Tapi dari bulan Februari sehingga nak masuk April, aku masih tidak menerima hadiah tersebut. Ini memang dikira satu kejutan! Puas aku teka, namun satu pun tidak kena. Mana tidaknya, kau tidak pernah mengiakan tekaan aku. Aku terpaksa menunggu sehingga penghujung bulan April nanti. Lamanya aku rasa. Ouh, untuk pengetahuan kau. Ear rings yang kau hadiahkan tahun lepas masih elok tersimpan. Aku masih mencari-cari masa yang sesuai untuk menembak telingaku ini.

Sudah sampai ke suratku ini. Kau harus membayar semula untuk sakit belakang yang aku rasa sekarang ini. Aku akan tuntut! Akhir kata, terima kasih kerana sentiasa bersama aku selama ini. Di masa suka dan duka. Kau mengajar aku tentang banyak perkara. Blog, Facebook, Twitter dan sebagainya. Terima kasih untuk segalanya. Kaulah sahabat yang paling aku sayangi. Paling okay? Walaupun kita kerap berhubung di Twitter, namun hati ini tetap merindu kau. Rindu saat kita bergelak ketawa bersama. Rindu segala-galanya yang pernah kita lalui bersama. Jadi, jagalah diri kau sehabis baik. Aku tahu mempunyai masalah yang tenat tentang Akaun, tetapi cuba untuk bangkit okay? Ruang doaku sentiasa ada untuk kau. Aku mendedikasikan lagu Count On Me - Bruno Mars kepada kau. Aku pasti mendapat A+ untuk SPM jika mengarang sebegini bagus. Sekian sahaja kali ini. Aku menanti balasanmu. XOXO

Yang sentiasa di sisimu, 
Aimi Juon.

Pengirim : Aimi Juon

No comments: