Monday, March 19, 2012

Aku yang takde hidup

Orang yang penuh dengan kehidupan (Ada LIFE),

   Salam saudara/saudari, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kerana anda telah menggelarkan diri anda sebagai seorang yang penuh dengan kehidupan walaupun dengan pengesahan sendiri. Saya dapat lihat ketelusan pengesahan anda itu melalui sikap anda dan gambar-gambar anda. Gambar anda semuanya cantik-cantik sehingga kadangkala saya lihat tidak berkelip selama lima belas minit. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada anda kerana menjadi seorang muda yang punyai 'LIFE' yang berwarna-warni.

   Berpandukan saudara/saudari, saya dapatlah memahami bahawa kehidupan itu atau 'LIFE' hanya boleh dicapai jika kita menjejakkan kaki ke dalam disko-disko mahupun dangdut-dangdut. 'LIFE' juga boleh dicapai dengan kita menafikan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Apa nak susah hati kan, dunia sekarang dah serba maju. Untuk mencapai 'LIFE' tahap moksya pula, kita mestilah mengikut budaya pemakaian homosapien-homosapien zaman prasejarah sebagai contoh, pakaian-pakaian di dalam animasi lejen, The Flinstones. Barulah tidak kolot, kerana mengikut beberapa kajian dan penemuan, didapati tamadun-tamadun dahulu lebih berteknologi tinggi dan lebih pandai dalam pelbagai perkara termasuklah pemakaian.

   Saya juga mendapati bahawa zaman sekarang ini, air teh dan kopi sudah lapuk ditelan zaman dan sangat kolot untuk dibuat sebagai minuman-minuman lepak di waktu bulan mengganti matahari. Setelaha beberapa pengamatan, saya juga mendapati bahawa tindakan anda dan lain-lain yang punyai 'LIFE' untuk menggantikan teh dan kopi dengan minuman lazat Heineken dan Tiger Beer adalah sangat-sangat bijak kerana kajian sendiri telah membuktikan bahawa arak adalah minuman yang bagus untuk badan. Jadi, saya yang tidak mempunyai kehidupan ini ataupun 'LIFELESS' sangatlah bangga kerana lahirnya homosapien seperti anda dalam masyarakat kita yang kian rosak dengan puak-puak yang anti-sosial dan buta fesyen. Saya akan mempengaruhi adik-adik saya untuk mengubah penampilan mereka yang kolot dan tiada 'LIFE' itu kepada apa yang dikatakan ada 'LIFE'.

   Saya harap dapatlah kiranya anda meneruskan usaha-usaha dakwah 'LIFE' anda dan seterusnya menjadikan anda seorang anak yang dibanggakan ibu dan bapa. Jangan pedulikan apa orang-orang yang buta fesyen dan anti-sosial nak cakap kerana mereka itu semua 'LIFELESS' dan tiada zaman muda untuk bersuka-ria.

Sekian, salam 1 Malaysia.

Dari,
Yang tiada kehidupan (LIFELESS)





5 comments:

Anonymous said...

Nampak sangat 'LIFE'nya disitak

Anonymous said...

kehidupan anak melayu hari ini...

pemuzik jalanan said...

Lebih seronok jadi lifeless dari bangga dengan hidup begini. Heh.

Halle Calypso said...

this should won a pulitzer =).
hehehe

Cangkul Emas said...

bila orang prasejarah dah masuk jarum, inilah jadinya.