Friday, March 16, 2012

Cinta.. Apa maksud cinta?



Kepada,
Cinta.


Cinta. Sungguh kehadiranmu amat membahagiakan hati-hati insan dan kehadiranmu juga melukakan hati-hati insan sehingga tidak ditemui penawarnya. Cinta, apakah maksudmu yang sebenarnya? Adakah cukup engkau mengatakan bahawa engkau ialah perasaan sayang yang terjalin dalam hati dua insan yang berbeza. Adakah maksud cinta yang engkau mengertikan hanya fitrah semata-mata? Jika begitu, mudah sungguh engkau mentafsir dirimu, Cinta. 

Sedarkah engkau Cinta bahawa dirimu ialah perasaan yang dianugerahkan oleh Tuhan untuk setiap hati manusia. Ungkapan cinta fitrah sahaja tidak sempurna, cinta mesti dipandu dengan ilmu, disubur dengan iman, disalurkan mengikut syariat dan dihiasi oleh akhlak. Oh Cinta, ketahuilah, hubungan antara manusia dimulakan dengan perasaan cinta tapi itu sahaja tidak cukup. Cinta, kau sepatutnya harus sempurnakan hubungan itu dengan tanggungjawab dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab.

Cinta,

Pernahkah engkau dengar? Untuk mengekalkan cinta, seseorang itu perlu meletakkan asas cinta pada cinta Tuhan. Oleh sebab itu Cinta, kemudilah tuanmu ke arah jalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Tuhan Yang Esa. Ingatlah satu hal Cinta, cinta yang meminggirkan cinta Tuhan adalah rendah mutunya dan tidak tahan diuji. Justeru itu Cinta, letakkanlah dulu perasaan cintamu pada Tuhan Yang Satu, pasti cinta yang lainnya sentiasa kekal bersatu. 

Hakikat yang perlu engkau tahu Cinta, cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan atau sesuatu hubungan sebagai kebun percintaan. Sentiasa subur menghijau. Walaupun kadangkala  bergolak, namun atas dasar ibadah, tanggungjawab, cinta dapat dibina semula. Malah cinta sesama insan akan dipacu ke arah cinta selamanya, di syurga! Bukankah itu lebih baik, Cinta?

Cinta,

Simpanlah bait-bait warkah ini dalam hatimu dan ingatlah akan perkara yang paling penting, hubungan dan perasaanmu itu hanya akan berharga dan menjadi sumber pahala apabila ikatan yang sah telah terjalin dan di situlah wujudnya cinta sejati sesama manusia. Oh Cinta, fikirkanlah sendiri. Sekian dulu Cinta. Peliharalah rasa cinta itu baik-baik ya. 


Daripada,
Pencinta Setia.

by cik shiqah.